Bernama, 10 Mac, 2009
KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Pelepasan cukai bagi faedah yang dibayar untuk pinjaman perumahan sehingga RM10,000 setahun selama tiga tahun akan merangsang minat belian semasa tempoh kegawatan ekonomi ini, kata syarikat perunding hartanah CH Williams Talhar & Wong.
Pengarah Urusannya, Goh Tian Sui berkata pelepasan cukai itu akan meningkatkan pendapatan boleh guna, yang seterusnya membolehkan pembeli baharu melabur dalam hartanah meskipun dalam keadaan kelembapan ekonomi.
"Pelepasan cukai ini tepat pada masa dalam keadaan sentimen pelaburan sektor perumahan yang lemah ketika ini apabila pemaju dan pembeli mengambil pendekatan berhati-hati masing-masing dalam membina dan memiliki rumah," katanya.
Goh berkata demikian sebagai memberi reaksi kepada pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM60 bilion bagi 2009 dan 2010 yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, hari ini.
Beliau berkata cadangan itu akan memberikan kelegaaan kepada pembeli rumah tetapi akan menjadi cabaran kepada peserta hartanah kerana mereka terpaksa bersaing dari segi lokasi dan kemudahan prasarana untuk menarik pembeli.
Goh berkata cadangan untuk memperuntukkan tambahan RM200 juta bagi skim perumahan awam kos rendah untuk golongan berpendapatan rendah juga merupakan satu langkah yang baik kerana ia akan membawa kesan yang pelbagai.
"Apabila anda menyediakan rangsangan kepada pasaran hartanah ia juga akan merancakkan industri pembinaan dan ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan," katanya.
Sementara itu, Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) berkata pakej tersebut menunjukkan bahawa kerajaan serius untuk membantu rakyat di samping memastikan sektor swasta tetap diberi perhatian semasa krisis ekonomi ini.
"MBAM berterima kasih di atas peruntukan RM8.4 bilion untuk mempercepatkan pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang mempunyai kandungan tempatan tinggi dan kesan yang perlbagai, tumpuan kepada rakyat dan boleh dilaksanakan dengan segera," kata persatuan itu.
Ia berkata MBAM juga menghargai peruntukan RM200 juta untuk membaiki dan menjaga longkang dan jalan raya.
MBAM menggesa kerajaan untuk mengagihkan dengan segera projek itu kepada kontraktor kerana pelajaran utama daripada peruntukan RMK-9 dan pakej rangsangan pertama adalah industri tidak merasai impak daripada peruntukan itu dan pengagihan dianggap sebagai perlahan.
"Bagi meningkatkan keyakinan terhadap sektor pembinaan, projek yang diperuntukkan perlu diumumkan secara telus dan kemajuan projek dipantau dengan rapat," kata MBAM.
Rabu, 11 Mac 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan