Berita Harian 27/11/2008
PETALING JAYA: Masalah pemaju tidak memberikan mutu perkhidmatan memuaskan sering mengganggu kehidupan mereka yang mendiami rumah pangsa, dan perkara ini turut menimbulkan masalah kepada kira-kira 1,000 penduduk di PJS1, Petaling Utama, di sini.
Naib Setiausaha Persatuan Penduduk PJS1 Petaling Utama, S Sugumaran, 40, mendakwa pemaju flat mereka, memotong bekalan air sesuka hati apabila penduduk lambat membayar atau membuat bayaran kurang daripada jumlah dikenakan tanpa diberi tahu terlebih dulu.
“Kami juga seperti dipaksa membayar caj tunggakan air sejak lima dan enam tahun lalu yang berjumlah antara RM2,000 dan RM3,000. Kenapa mereka perlu lakukannya sekarang dan bukan lima atau enam tahun lalu,” katanya ketika ditemui Berita Harian.
Katanya, pemaju juga didakwa meletak harga yang sama untuk unit rumah di tingkat bawah dan tingkat satu iaitu RM42,000 sedangkan unit di tingkat satu lebih luas.
Seorang penduduk, Saunderaju, 48, berkata dari segi perkhidmatan pula, caj penyelenggaraan dikenakan adalah RM40 sebulan, namun perkhidmatan diberikan tidak sepadan kerana masalah seperti lif rosak, longkang berbau dan kecurian kereta sering mengganggu kehidupan kawasan perumahan itu.
“Ini amat tidak menyenangkan penduduk apatah lagi keadaan lif yang bukan saja sering rosak, malah berbau kencing dan sampah juga diletakkan di tepi tangga,” katanya.
Yang Dipertua persatuan terbabit, K Segar, 46, pula berkata, di blok A, B, C dan D tidak disediakan taman permainan kanak-kanak dan penduduk difahamkan tembok akan dibina di belakang flat mereka merentasi laluan jalan pejalan kaki.
“Saya difahamkan pembinaan tembok terbabit adalah untuk mengelak masalah jenayah, namun jalan untuk membina tembok berkenaan adalah jalan penghubung untuk kanak-kanak ke sekolah dan menunggu bas dan ini menyukarkan kerana pengguna perlu membuat satu pusingan besar.
“Ada baiknya jika wang untuk pembinaan tembok digunakan bagi membina kemudahan infrastruktur seperti taman permainan kanak-kanak yang boleh memanfaatkan penduduk di sini,” katanya.
Katanya, mereka juga tidak mempunyai kemudahan dewan dan terpaksa menyewa dewan yang disediakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
“Tetapi kadar sewaan yang dikenakan terlalu tinggi bagi kami yang berpendapatan rendah iaitu RM250 dengan deposit RM250 bagi jangka masa dari jam 7 petang hingga 12 tengah malam.
“Hal ini sudah diajukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan, Haniza Talha dengan menghantar memorandum kepada beliau pada 24 Jun lalu, namun sehingga kini masih tidak menerima sebarang jawapan,” dakwanya.
Sementara itu, Pengurus Hartanah Peter’s Brickworks Sdn Bhd, pemaju hartanah itu, Lau Hock Meng, ketika dihubungi Berita Harian berkata, berkenaan caj pemotongan air seperti dakwaan penduduk ia sudah ditetapkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sden Bhd (Syabas) yang meminta mereka menjelaskan tunggakan air selama enam tahun dan sudah pun dipersetujui penduduk dan Haniza sendiri.
“Syabas memberi tempoh setahun untuk mereka menjelaskan tunggakan terbabit di mana mereka perlu membayar 10 peratus daripada jumlah tunggakan dikenakan,” katanya.
Berkenaan dewan dan pembinaan tembok pula, Lau berkata, ia adalah di bawah bidang kuasa MBPJ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan