Rabu, 11 Mac 2009

Pendapatan Faedah Terakru Pinjaman Perumahan Dicukai Selepas Diterima

Bernama, 11 Mac, 2009

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkata pendapatan faedah bank berkaitan penangguhan bayaran balik perumahan hanya dikenakan cukai apabila pendapatan tersebut diterima.

Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri Datuk Hasmah Abdullah berkata pengecualian cukai itu selaras dengan usaha kerajaan untuk membantu pekerja yang diberhentikan berikutan kegawatan ekonomi dunia yang berhadapan dengan masalah untuk membayar balik pinjaman perumahan.

Beliau berkata kerajaan mencadangkan supaya bank dan institusi kewangan membantu mereka yang terlibat dengan membenarkan moratorium bayaran pinjaman perumahan untuk sesuatu tempoh.

Pada sidang media bagi menjelaskan isu-isu percukaian Bajet Mini 2009 di sini hari ini, Hasmah berkata pinjaman berkenaan tidak dikelaskan sebagai pinjaman tertunggak tetapi merupakan bayaran yang ditunda ke suatu tempoh kemudian.

"Institusi perbankan telah bersetuju untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman perumahan oleh pekerja yang diberhentikan selama satu tahun. Sehubungan itu, kerajaan bersetuju membenarkan pendapatan faedah ini dikenakan cukai pada masa ia diterima," katanya.

Hasmah berkata tempoh permohonan moratorium bermula dari 10 Mac 2009 hingga 9 Mac 2010.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan sekiranya faedah dibayar dalam tempoh moratorium, faedah itu akan dikenakan cukai dalam tempoh berkenaan.

Syarikat Sambut Baik Pelepasan Cukai Pinjaman Perumahan

Bernama, 10 Mac, 2009

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Pelepasan cukai bagi faedah yang dibayar untuk pinjaman perumahan sehingga RM10,000 setahun selama tiga tahun akan merangsang minat belian semasa tempoh kegawatan ekonomi ini, kata syarikat perunding hartanah CH Williams Talhar & Wong.

Pengarah Urusannya, Goh Tian Sui berkata pelepasan cukai itu akan meningkatkan pendapatan boleh guna, yang seterusnya membolehkan pembeli baharu melabur dalam hartanah meskipun dalam keadaan kelembapan ekonomi.

"Pelepasan cukai ini tepat pada masa dalam keadaan sentimen pelaburan sektor perumahan yang lemah ketika ini apabila pemaju dan pembeli mengambil pendekatan berhati-hati masing-masing dalam membina dan memiliki rumah," katanya.

Goh berkata demikian sebagai memberi reaksi kepada pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM60 bilion bagi 2009 dan 2010 yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, hari ini.

Beliau berkata cadangan itu akan memberikan kelegaaan kepada pembeli rumah tetapi akan menjadi cabaran kepada peserta hartanah kerana mereka terpaksa bersaing dari segi lokasi dan kemudahan prasarana untuk menarik pembeli.

Goh berkata cadangan untuk memperuntukkan tambahan RM200 juta bagi skim perumahan awam kos rendah untuk golongan berpendapatan rendah juga merupakan satu langkah yang baik kerana ia akan membawa kesan yang pelbagai.

"Apabila anda menyediakan rangsangan kepada pasaran hartanah ia juga akan merancakkan industri pembinaan dan ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan," katanya.

Sementara itu, Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) berkata pakej tersebut menunjukkan bahawa kerajaan serius untuk membantu rakyat di samping memastikan sektor swasta tetap diberi perhatian semasa krisis ekonomi ini.

"MBAM berterima kasih di atas peruntukan RM8.4 bilion untuk mempercepatkan pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang mempunyai kandungan tempatan tinggi dan kesan yang perlbagai, tumpuan kepada rakyat dan boleh dilaksanakan dengan segera," kata persatuan itu.

Ia berkata MBAM juga menghargai peruntukan RM200 juta untuk membaiki dan menjaga longkang dan jalan raya.

MBAM menggesa kerajaan untuk mengagihkan dengan segera projek itu kepada kontraktor kerana pelajaran utama daripada peruntukan RMK-9 dan pakej rangsangan pertama adalah industri tidak merasai impak daripada peruntukan itu dan pengagihan dianggap sebagai perlahan.

"Bagi meningkatkan keyakinan terhadap sektor pembinaan, projek yang diperuntukkan perlu diumumkan secara telus dan kemajuan projek dipantau dengan rapat," kata MBAM.

Selasa, 10 Mac 2009

Subsidi Kepada Pemaju Perumahan Bina Rumah

Bernama 06 Mac, 2009

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang merancang untuk memberikan subsidi kepada pemaju perumahan untuk membina rumah yang lebih berkualiti dan dalam kemampuan orang ramai di kawasan strategik.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata tindakan itu untuk mengekalkan pertumbuhan ketika krisis kewangan global ini dan juga sebagai sebahagian tanggungjawab kerajaan bagi menyediakan rumah berkualiti untuk orang ramai.

"Ini dalam keadaan menang-menang dan hasrat kita semasa ini ialah untuk menjadikan industri tersebut aktif," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mapex Lembah Klang 2009 di sini Jumaat.

Katanya beliau telah membincangkan rancangan ini dengan Perbendaharaan dan dijangka dilaksanakan pada tahun ini jika kabinet meluluskannya.

Kerajaan akan juga memberikan subsidi kepada pemaju yang bersedia membina rumah kos rendah yang lebih luas di lokasi strategik, dan dilengkapi dengan kemudahaan asas yang lebih baik, kata beliau.

"Hasrat kita ialah untuk membina rumah yang dalam kemampuan orang ramai, bukan di kawasan orang susah dan kita mestilah mampu memilih bakal pembeli juga," tambahnya.

Kini harga rumah kos rendah seluas 650 meter persegi ialah RM42,000 seunit, walaupun kos pembinaannya dianggarkan dengan harga minimum RM60,000.

Mengenai pemilihan calon untuk rumah kos rendah, Ong berkata kementeriannya akan mengadakan satu mekanisme untuk memeriksa dengan teliti pemohon bagi memastikan hanya pemohon tulen daripada golongan miskin tegar, ibu tunggal dan kurang upaya yang dapat.

Kini terdapat kira-kira 500,000 pemohon untuk rumah kos rendah.

Ong juga berkata kementerian itu mencadangkan kepada Perbendaharaan untuk mengurangkan duti setem memandangkan kelembapan ekonomi sekarang sungguhpun langkah itu akan mengurangkan pendapatan kerajaan.

"Tetapi adalah lebih baik untuk mendapat sedikit daripada tidak dapat langsung," kata beliau.

Kini rumah yang berharga kurang RM100,000 dikenakan duti setem sebanyak satu peratus sementara rumah bernilai lebih RM100,000, duti setem ialah dua peratus dan rumah lebih RM500,000 dikenakan duti setem tiga peratus.

Lebar Daun Laksana Projek Bernilai Kasar RM1 Bilion

Bernama 01 Mac, 2008

SHAH ALAM, 1 Mac (Bernama) -- Pemaju harta, Lebar Daun Development Sdn Bhd, akan melaksanakan beberapa projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1 bilion dalam tempoh lima tahun.

Antaranya ialah Commerce Galleries@ONEtwoONE di Shah Alam yang menjanjikan GDV kira-kira RM400 juta kepada anak syarikat Kumpulan Lebar Daun itu.

Bercakap kepada pemberita pada majlis pelancaran projek itu di sini, pengarah eksekutifnya, Noorazhar Muhd Nurdin, berkata pusat komersial itu akan dimajukan dalam tiga peringkat dalam tempoh lima tahun.

Fasa pertama disasarkan bermula Mei ini dan dijangka siap pada 2010.

Commerce Galleries@ONEtwoONE terdiri daripada 38 unit pejabat perniagaan yang empat daripadanya merupakan lot tepi. Harga-harganya adalah dari RM209,999 bagi sebuah unit studio hingga RM4 juta bagi unit tepi.

Memandangkan lapan unit telahpun dijual,, Noorazhar yakin baki 30 unit dalam fasa pertama itu akan laris dalam tiga bulan akan datang.

Beliau menyandarkan keyakinannya pada hakikat bahawa syarikat itu "menawarkannya pada harga lima hingga lapan peratus lebih murah daripada pesaing-pesaingnya" bagi kebanyakan produknya.

Projek-projek lain yang menyumbang kepada GDV RM1 bilion itu ialah pembangunan bercampurnya di D'Kayangan dan Bukit Bandaraya, kedua-duanya di Shah Alam, dan Taman Dato' Demang di Seri Kembangan.

Lebar Daun mempunyai simpanan tanah seluas 600 hektar di Selangor dan Pahang yang mengisi jadual pembangunannya selama sekurang-kurangnya 10 tahun.

Syarikat itu juga sedang berbincang untuk membeli tanah seluas 100 hektar di Johor.

GDV RM1 bilion itu, bagaimanapun, tidak termasuk projek Shah Alam Triple Tower yang dijadual dilancarkan dalam suku terakhir tahun ini, kata pengarah eksekutif itu.

Projek Triple Tower, yang mengandungi dua menara pejabat setinggi 21 tingkat dan satu menara pejabat setinggi 26 tingkat, mempunyai GDV lebih RM600 juta, iaitu antara GDV tertinggi bagi sebuah projek komersial di Shah Alam.

"Kami berharap untuk menyiapkan projek ini dalam tiga tahun," kata Noorazhar.

Mengenai prospek industri, beliau meramalkan 2008 sebagai tahun yang baik bagi industri ini memandangkan permintaan yang teguh bagi harta komersial dan kediaman.

Beliau berpendapat kelembapan ekonomi AS sekarang tidak akan memberi banyak kesan limpahan kepada industri ini di Malaysia.

Peraturan sidai kain di flet

Metro Harian 04/12/2008

PUTRAJAYA: Penghuni kediaman berbilang tingkat dilarang menyidai pakaian di kawasan terbuka apabila penguatkuasaannya dilaksanakan mulai awal tahun depan.Tabiat itu yang biasa dilihat di rumah pangsa atau pangsapuri ketika ini menyebabkan imej dan pemandangan kawasan persekitarannya terjejas terutama di kalangan pelancong asing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata bagi menguatkuasakan peraturan itu, satu garis panduan akan dikeluarkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

“Pesuruhjaya Bangunan (COB) akan ditugaskan bagi menguatkuasakan perkara ini dan tindakan menyediakan tempat yang khusus dan peralatan sepatutnya disediakan, akan diambil,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Negara Untuk Kerajaan Tempatan (MNKT) Ke-61 di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ong Ka Chuan, serta Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sudah mengambil inisiatif bagi mengelakkan pemandangan kurang menarik ini dilihat di kawasan rumah pangsa dengan memasang EBshield, iaitu sejenis tabir logam yang diletakkan di kawasan ampaian.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sekiranya tindakan itu tidak berkesan, pindaan undang-undang sedia ada akan dipertimbangkan.

“Kita akan pertimbangkan untuk buat pindaan, jika ini tak berkesan,” katanya.

Projek terbengkalai timbulkan masalah

Sinar Harian 04/12/2008

PETALING JAYA - Penduduk di Jalan Besar Taman Medan di sini mendakwa mengalami pelbagai masalah berikutan terdapat satu projek perumahan terbengkalai yang terbiar sejak bertahun lamanya.

Antara masalah yang dihadapi penduduk kerana rumah terbengkalai itu, ia menjadi sarang pembiakan nyamuk dan menjadi tapak pembuangan sampah haram yang menjejaskan keselesaan penduduk di kawasan sekitar.

Salah seorang penduduk, Ali Asbullah, 33, mendakwa, projek perumahan itu tidak pernah cuba disiapkan sama ada oleh pemaju asal atau pemaju yang lain menyebabkan ia menjadi punca kepada beberapa masalah persekitaran.

“Nyamuk menjadi masalah utama di sini sehingga kehidupan penduduk di sini berada dalam kebimbangan dan terganggu. Kami sudah tidak tahan dengan gangguan nyamuk yang semakin menjadi-jadi sejak akhir ini terutama pada waktu malam,” katanya.

Menurutnya, pelbagai cara diambil bagi mengatasi masalah tersebut tetapi sehingga kini ia masih berlarutan malah bertambah teruk.

“Kami bimbangkan kesihatan anak-anak di sini kerana nyamuk merupakan punca kepada beberapa penyakit yang berbahaya,” katanya.

Di samping itu katanya, projek terbengkalai itu mencemarkan pemandangan di sesebuah kawasan kerana kawasan bangunan yang terbiar itu dipenuhi lalang dan semak-samun manakala dinding bangunan pula dipenuhi lumut.

“Keadaan ini menimbulkan kebimbangan kami sebagai penduduk di sini kerana ia boleh menjadi tempat pembiakan binatang berbisa seperti ular.

“Ini membimbangkan kami kerana ramai kanak-kanak yang bermain di persekitaran kawasan ini. Masalah ini sudah beberapa kali diajukan kepada pihak berkuasa tempatan namun sehingga kini tiada sebarang tindakan yang diambil,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi itu semalam mendapati kawasan itu dipenuhi dengan pokok dan semak-samun yang tumbuh meliar, di samping tinggalan sisa-sisa bahan binaan.

Seorang lagi penduduk di sini, Shahrul Amri, 19 berkata, keadaan persekitaran kawasan rumah terbengkalai itu yang dipenuhi semak samun menjadikan ia tempat pembiakan binatang berbisa.

“Melihat kepada keadaan sekeliling yang dipenuhi semak samun, tidak mustahil kawasan ini menjadi habitat haiwan berbisa. Keadaan ini memerlukan tindakan segera daripada pihak yang berkenaan sebelum berlaku perkara yang tidak diingini kepada penduduk terutamanya kanak-kanak,” katanya.

Menurutnya, projek perumahan tersebut sudah terbengkalai sejak sepuluh tahun lalu dan tiada sebarang tindakan diambil bagi menyiapkan projek tersebut.

“Justeru, saya amat berharap pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dapat membuat tinjauan ke kawasan itu dan mengambil tindakan sewajarnya dengan segera,” katanya.

Akaun 2 tak dibenar ubah suai rumah

Berita Harian 26/11/2008

SAYA merujuk kepada surat ‘Co-Yorks’, Ampang, Selangor yang disiarkan dalam ruangan ini pada 12 November berhubung pengeluaran Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan mengubahsuai rumah.

Untuk makluman, pengeluaran perumahan KWSP membolehkan ahli mengeluarkan simpanan dalam Akaun 2 bagi tujuan membina atau membeli rumah kediaman, mengurang atau menyelesaikan baki pinjaman perumahan dan membayar ansuran bulanan pinjaman perumahan.

Dalam hubungan ini, KWSP tidak dapat meluluskan permohonan ahli berkenaan untuk menyelesaikan pinjaman perumahan beliau yang diambil secara pembiayaan semula kerana pinjaman asal untuk membeli rumah itu sudah selesai dibayar oleh ahli. Syarat pengeluaran KWSP juga tidak membenarkan pengeluaran untuk pengubahsuaian rumah.

Sebarang cadangan untuk mengeluarkan simpanan KWSP bagi tujuan yang tidak memberikan nilai tambah kepada simpanan ahli akan menjejas dan mengurangkan jumlah simpanan untuk persaraan mereka. Oleh itu, cadangan itu tidak dapat dipertimbangkan.

NIK AFFENDI JAAFAR,
Pengurus Kanan
Perhubungan Awam KWSP.