Selasa, 10 Mac 2009

Lebar Daun Laksana Projek Bernilai Kasar RM1 Bilion

Bernama 01 Mac, 2008

SHAH ALAM, 1 Mac (Bernama) -- Pemaju harta, Lebar Daun Development Sdn Bhd, akan melaksanakan beberapa projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1 bilion dalam tempoh lima tahun.

Antaranya ialah Commerce Galleries@ONEtwoONE di Shah Alam yang menjanjikan GDV kira-kira RM400 juta kepada anak syarikat Kumpulan Lebar Daun itu.

Bercakap kepada pemberita pada majlis pelancaran projek itu di sini, pengarah eksekutifnya, Noorazhar Muhd Nurdin, berkata pusat komersial itu akan dimajukan dalam tiga peringkat dalam tempoh lima tahun.

Fasa pertama disasarkan bermula Mei ini dan dijangka siap pada 2010.

Commerce Galleries@ONEtwoONE terdiri daripada 38 unit pejabat perniagaan yang empat daripadanya merupakan lot tepi. Harga-harganya adalah dari RM209,999 bagi sebuah unit studio hingga RM4 juta bagi unit tepi.

Memandangkan lapan unit telahpun dijual,, Noorazhar yakin baki 30 unit dalam fasa pertama itu akan laris dalam tiga bulan akan datang.

Beliau menyandarkan keyakinannya pada hakikat bahawa syarikat itu "menawarkannya pada harga lima hingga lapan peratus lebih murah daripada pesaing-pesaingnya" bagi kebanyakan produknya.

Projek-projek lain yang menyumbang kepada GDV RM1 bilion itu ialah pembangunan bercampurnya di D'Kayangan dan Bukit Bandaraya, kedua-duanya di Shah Alam, dan Taman Dato' Demang di Seri Kembangan.

Lebar Daun mempunyai simpanan tanah seluas 600 hektar di Selangor dan Pahang yang mengisi jadual pembangunannya selama sekurang-kurangnya 10 tahun.

Syarikat itu juga sedang berbincang untuk membeli tanah seluas 100 hektar di Johor.

GDV RM1 bilion itu, bagaimanapun, tidak termasuk projek Shah Alam Triple Tower yang dijadual dilancarkan dalam suku terakhir tahun ini, kata pengarah eksekutif itu.

Projek Triple Tower, yang mengandungi dua menara pejabat setinggi 21 tingkat dan satu menara pejabat setinggi 26 tingkat, mempunyai GDV lebih RM600 juta, iaitu antara GDV tertinggi bagi sebuah projek komersial di Shah Alam.

"Kami berharap untuk menyiapkan projek ini dalam tiga tahun," kata Noorazhar.

Mengenai prospek industri, beliau meramalkan 2008 sebagai tahun yang baik bagi industri ini memandangkan permintaan yang teguh bagi harta komersial dan kediaman.

Beliau berpendapat kelembapan ekonomi AS sekarang tidak akan memberi banyak kesan limpahan kepada industri ini di Malaysia.

Tiada ulasan: