Berita Harian 18/11/2008
JOHOR BAHRU: Kira-kira 500 keluarga yang mendiami rumah pangsa Taman Skudai Kanan, Bandar Baru Uda di sini mendakwa mendiami rumah pangsa yang terbiar dalam keadaan tidak terurus, uzur dan tidak selamat sejak lebih 10 tahun lalu.
Pengerusi Badan Bertindak Penduduk rumah pangsa itu, Adzri Md Daud, 46, berkata masalah yang berlarutan sejak sekian lama itu menimbulkan kejadian tidak diingini seperti plaster dinding runtuh, kebocoran lantai dan bumbung sehingga menjejas keselesaan penduduk.
Beliau berkata, keadaan itu juga menyebabkan pokok liar tumbuh di celah dinding sehingga menyebabkan bingkai tingkap rosak selain masalah dinding berlumut yang mencacatkan pemandangan.
“Kami berharap pemaju, Uda Holdings Bhd dapat mengadakan perundingan dengan penduduk untuk mengatasi masalah yang sudah lama berlaku ini dan tidak hanya semata-mata menghantar surat untuk meminta bayaran penyelenggaran setiap bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian bersama sekumpulan penduduk yang mengadakan perhimpunan secara aman di depan rumah pangsa itu di sini, semalam.
Adzri berkata, sehubungan itu, beliau berharap Uda Holdings dapat membaiki segala kebocoran atap dan lantai, dinding yang runtuh dan retak dan dewan sedia ada untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini pada masa depan.
Sementara itu, Penasihat badan bertindak, Syed Othman Syed Abdullah, berkata pihaknya mendapati ada rumah yang retak sehingga hanya menunggu masa untuk roboh.
Beliau berkata, berikutan itu, pihaknya akan mengemukakan surat dan memorandum untuk meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Puteri, Adam Sumiru; Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad dan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman bertindak untuk mengelak kejadian tragedi seperti runtuhnya Highland Towers berlaku di negeri ini.
“Janganlah kerana penduduk ini membeli rumah murah berharga RM22,000, pihak bertanggungjawab hanya memandang sepi masalah mereka,” katanya.
Timbalan Pengerusi Blok A rumah pangsa berkenaan, Abdul Aziz Bahrom, 41, berkata pihaknya kecewa pihak pengurusan rumah pangsa berkenaan tidak pernah menyelenggara bangunan seperti mengatasi masalah atap bocor, bangunan retak dan membersihkan tangki air yang sepatutnya dilakukan setahun sekali.
“Saya berharap semua pihak termasuk Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dapat datang ke sini segera untuk melihat sendiri masalah yang berlaku di sini yang kini dalam kritikal,” katanya.
Penghuni tingkat empat, Salnah Nasir, 51, berkata bumbung rumah pangsa berkenaan yang bocor sejak sekian lama tidak diganti pemaju menyebabkan beliau terpaksa menggunakan baldi untuk menampung air yang bocor ke dalam rumah.
Beliau berkata, masalah bumbung berkenaan cukup ketara dirasakan penghuni tingkat atas selain ada masanya, bumbung diterbangkan angin sehingga jatuh ke bawah menimpa kenderaan orang lain.
“Saya berasa kecewa kerana saya adalah antara pemilik rumah yang membayar wang penyelenggaraan setiap bulan tetapi kebajikan saya diabaikan,” katanya.
Selain itu, Maimunah Ismail, 50, berkata beliau bernasib baik apabila tidak ditimpa plaster dinding yang tiba-tiba runtuh selepas beliau berjalan melalui tepi bangunan untuk membeli sayur daripada peniaga van yang datang menjual barang basah.
“Jika plaster dinding yang runtuh kira-kira jam 9 pagi, 7 November lalu itu tepat mengenai kepala saya, mungkin saya tidak lagi berada di sini ketika ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan