Sinar Harian 04/12/2008
PETALING JAYA - Penduduk di Jalan Besar Taman Medan di sini mendakwa mengalami pelbagai masalah berikutan terdapat satu projek perumahan terbengkalai yang terbiar sejak bertahun lamanya.
Antara masalah yang dihadapi penduduk kerana rumah terbengkalai itu, ia menjadi sarang pembiakan nyamuk dan menjadi tapak pembuangan sampah haram yang menjejaskan keselesaan penduduk di kawasan sekitar.
Salah seorang penduduk, Ali Asbullah, 33, mendakwa, projek perumahan itu tidak pernah cuba disiapkan sama ada oleh pemaju asal atau pemaju yang lain menyebabkan ia menjadi punca kepada beberapa masalah persekitaran.
“Nyamuk menjadi masalah utama di sini sehingga kehidupan penduduk di sini berada dalam kebimbangan dan terganggu. Kami sudah tidak tahan dengan gangguan nyamuk yang semakin menjadi-jadi sejak akhir ini terutama pada waktu malam,” katanya.
Menurutnya, pelbagai cara diambil bagi mengatasi masalah tersebut tetapi sehingga kini ia masih berlarutan malah bertambah teruk.
“Kami bimbangkan kesihatan anak-anak di sini kerana nyamuk merupakan punca kepada beberapa penyakit yang berbahaya,” katanya.
Di samping itu katanya, projek terbengkalai itu mencemarkan pemandangan di sesebuah kawasan kerana kawasan bangunan yang terbiar itu dipenuhi lalang dan semak-samun manakala dinding bangunan pula dipenuhi lumut.
“Keadaan ini menimbulkan kebimbangan kami sebagai penduduk di sini kerana ia boleh menjadi tempat pembiakan binatang berbisa seperti ular.
“Ini membimbangkan kami kerana ramai kanak-kanak yang bermain di persekitaran kawasan ini. Masalah ini sudah beberapa kali diajukan kepada pihak berkuasa tempatan namun sehingga kini tiada sebarang tindakan yang diambil,” katanya.
Tinjauan Sinar Harian ke lokasi itu semalam mendapati kawasan itu dipenuhi dengan pokok dan semak-samun yang tumbuh meliar, di samping tinggalan sisa-sisa bahan binaan.
Seorang lagi penduduk di sini, Shahrul Amri, 19 berkata, keadaan persekitaran kawasan rumah terbengkalai itu yang dipenuhi semak samun menjadikan ia tempat pembiakan binatang berbisa.
“Melihat kepada keadaan sekeliling yang dipenuhi semak samun, tidak mustahil kawasan ini menjadi habitat haiwan berbisa. Keadaan ini memerlukan tindakan segera daripada pihak yang berkenaan sebelum berlaku perkara yang tidak diingini kepada penduduk terutamanya kanak-kanak,” katanya.
Menurutnya, projek perumahan tersebut sudah terbengkalai sejak sepuluh tahun lalu dan tiada sebarang tindakan diambil bagi menyiapkan projek tersebut.
“Justeru, saya amat berharap pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dapat membuat tinjauan ke kawasan itu dan mengambil tindakan sewajarnya dengan segera,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan