Fri | May 04, 07 | 6:57:13 pm MYT
Boleh dikatakan saban hari kita mendengar keluhan pembeli rumah yang malang disebabkan pemaju yang tidak bertanggung jawab terhadap rakyat Malaysia sendiri terutamanya di negeri Selangor.
Saya adalah salah seorang dari puluhan ribu pembeli yang malang di Malaysia ini khususnya di Selangor. Saya bersama lebih kurang 3,800 pembeli rumah Bandar Alam Perdana di Mukim Ijok, Kuala Selangor.
Hampir kesemua pembeli menandatangani surat perjanjian jual beli rumah pada pertengahan tahun 2000 dan sepatutnya rumah impian kami boleh diduduki pada tahun 2002. Malangnya masalah mula timbul pada pertengahan 2002.
Setelah menunggu selama tiga tahun iaitu pada pertengahan tahun 2005, kami mula mengorak langkah secara agresif dengan pergi bertemu pemaju.
Kami dijanjikan bahawa rumah akan disiapkan dalam masa enam bulan bagi rumah teres dan satu tahun setengah bagi rumah kos rendah. Kami dimaklumkan bahawa rumah tidak dapat disiapkan kerana masalah kewangan syarikat pemaju.
Akhirnya projek itu diambil alih pihak lain dan masalah kami masih tidak selesai.
Apa yang kami kesalkan, pihak Majlis Daerah, Exco Perumahan Negeri, Kementerian Perumahan dan Menteri Besar seperti tidak ambil kisah. Jika ditanya pihak Majlis Daerah, katanya menunggu pihak pengurusan pemaju berjumpanya. Setiap kali wakil pembeli pergi berjumpa Exco Perumahan Negeri pula seakan tidak menemui sebarang penyelesaian. Malah setiap kali perjumpaan, kami harus memulakan sejarah awal pembinaan projek berkenaan. Jadilah kami penglipur lara yang teraniayai.
Perkara ini berlanjutan selama tiga tahun. Episod di Kementerian Perumahan lebih menyakitkan hati. Pegawai yang dilantik, sepatutnya menjadi tempat kami mengadu hanya dapat menolong memasukkan projek perumahan kami itu dalam senarai projek tergendala sahaja.
Saya terharu dengan badan bertindak pembeli yang selama bertahun, sanggup turun naik tangga berjumpa pihak berkenaan. Mereka menebalkan muka mengadu nasib kami. Kini kami terpaksa menanggung beban hutang akibat bahana pemaju yang haloba, dan sikap pihak yang sepatutnya membela nasib rakyat tetapi hanya menjaga isi perut sendiri.
Di Bandar Alam Perdana sahaja terdapat hampir 1,300 pembeli rumah teres yang harganya lebih RM120,000. Hampir 2,500 pembeli pula adalah rumah kos rendah yang majoritinya gaji dibawah RM1,200 sebulan.
Kami juga sedih kerana pihak berwajib bertindak secara reaktif dan bukan proaktif. Manakala pemaju pula sangat aktif untuk menipu para pembeli. Masing-masing menunjukkan kehebatan merompak duit rakyat yang naif, kerana mereka tahu ada kaedah lain yang boleh menyelamatkan mereka.
Baru-baru ini kerajaan meluluskan akta tuntutan tribunal dinaikkan dari RM25,000 kepada RM50,000. Adakah masalah puluhan ribu pembeli rumah akan selesai? Kosong! Surat yang dihantar kepada Menteri Perumahan pun tak berjawab. Apa yang kami dapat dari mereka yang diberi mandat? Kosong! _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan