Isnin, 10 November 2008

MDKS jawab isu rumah terbengkalai


Utusan Malaysia 10/1/2006

KUALA SELANGOR 9 Jan. - Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menjelaskan punca projek Rumah Pangsa Kos Rendah Lima Tingkat di Mukim Ijok, Bandar Alam Perdana, di sini terbengkalai kerana pemajunya menghadapi masalah kewangan.

Pegawai Unit Perhubungan Awam MDKS, Mohd. Saad Mahsah berkata, pemaju projek perumahan itu LBCN Dev. Sdn. Bhd. didapati menghadapi masalah pengurusan dan kewangan.

"Masalah itu yang menyebabkan projek perumahan berkenaan terbengkalai," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas surat aduan Pembeli Buntu, Batang Berjuntai, Selangor yang disiarkan dalam ruangan Forum Utusan Malaysia pada 2 Januari lalu.

Mohd. Saad berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Lembaga Perumahan dan MDKS telah mengadakan perbincangan dengan pihak pemaju bagi mengatasi masalah tersebut.

"Bagaimanapun pemaju masih gagal untuk menyiapkan perumahan tersebut. lni termasuk mengadakan beberapa sesi perbincangan pada 1 Julai 2005, 3 Ogos 2005 dan yang terbaru pada September tahun lalu," katanya.

Tiada ulasan: