2/3/2006 Harian Metro
PETALING JAYA: Pembeli rumah Bandar Alam Perdana, Kuala Selangor, dimintan menandatangani surat perjanjian bagi membolehkan kontraktor baru dilantik meneruskan projek perumahan yang terbengkalai sejak empat tahun lalu.
Ahli jawatankuasa penduduk taman berkenaan, Wan Normi Hasan, berkata pembeli rumah diminta memberikan kerjasama bagi membantu mempercepatkan proses pembinaan yang 20 hingga 80 peratus disiapkan.
Menurutnya, kontraktor baru yang dilantik tidak dapat menyambung kerja-kerja pembinaan berikutan kegagalan mendapatkan tandatangan daripada pembeli walaupun hebahan mengenainya sudah dibuat sebelum ini.
“Kontraktor memerlukan tandatangan pembeli sebagai bukti projek berkenaan diteruskan dalam tempoh satu tahun. Setakat ini, kira-kira 60 peratus pembeli sudah berbuat demikian.
“Kita sedang mengumpul kira-kira 20 peratus lagi pembeli supaya projek yang tertangguh ini dapat diteruskan secepat mungkin,” katanya selepas mengadakan perbincangan dengan kontraktor baru, LBCN Development Sdn Bhd,di sini, semalam.
Seorang pembeli, Kanesen Ponnusamy, berkata kegagalan pemaju menyiapkan projek perumahan dalam tempoh ditetapkan menyebabkan pembeli terpaksa menanggung hutang bank yang tinggi selain membayar sewa rumah.
“Kami berharap pelantikan kontraktor baru ini dapat menyelesaikan masalah pembeli.
“Saya sekeluarga tidak sabar untuk mendiami rumah baru,” katanya.
Akhbar pada 23 Jun tahun lalu menyiarkan rintihan kira-kira 2,000 pembeli rumah di Bandar Alam Perdana berikutan syarikat pemaju projek itu gagal menyiapkan kediaman mereka walaupun ia dijadualkan siap tiga tahun lalu.
Projek perumahan 2,300 unit yang mempunyai rumah pangsa kos rendah, rumah teres dua tingkat, rumah kedai serta banglo itu bermula pada 2000 dan sepatutnya siap pada Jun 2002.
Masalah tercetus apabila pemaju Vega Builders Sdn Bhd, yang menghadapi masalah kekurangan tenaga buruh, gagal menyiapkan rumah pada tarikh dalam perjanjian.
Vega Builders dan LBCN Development adalah anak syarikat Prime Utilities Berhad.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Prime Utilities, Datuk Nik Ezar Nik Bolia, berkata pihaknya akan cuba menyiapkan projek itu dalam tempoh setahun setengah selepas menerima surat perjanjian yang ditandatangani pembeli berkenaan.
“Buat masa sekarang kita menjalankan kerja penyambungan pembinaan daripada pemaju lama membabitkan rumah teres dua tingkat sebelum meneruskan projek bagi rumah kos rendah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan